Tuesday, April 13, 2010

Isteri Gelapku - Bab 1 ©

“Ariana saya minta maaf. Saya tak tahu nak awak bagaimana harus saya terangkan. Saya minta maaf sangat-sangat. Saya terpaksa putuskan hubungan kita”
Ariana terpana. Fikirannya bingung.
“Kenapa ni Faizal? Apa salah saya hingga awak sanggup buat keputusan ni?“ Ariana mendesak. Matanya sudah mula berair. Sebak.
“Saya minta maaf sangat-sangat Ariana, saya tak boleh teruskan. Saya kena tumpukan perhatian saya pada perniagaan saya. Awak pun tahu saya baru memulakan perniagaan saya. Jadi,saya tak nak terlibat dengan apa-apa komitmen selagi saya tak berjaya. Jika jodoh kita panjang , kita pasti bersama kembali” lancar sekali Faizal menuturkan alasan.
“Tak boleh ke kita pertahankan hubungan kita ni. Kalau awak nak fokus pada perniagaan awak teruskanlah. Saya takkan ganggu awak. Saya akan tunggu hingga awak stabil.” Ariana merayu.
Faizal tak boleh meninggalkan dirinya begitu sahaja. Setelah apa yang mereka lalui.
Ariana merenung wajah Faizal yang sedang menggelengkan kepala. Faizal kelihatan nekad sekali dengan keputusannya. Entah apa yang merasuk fikiran Faizal sehingga dia sanggup bertekad sedemikian.
“Sampai hati awak Faizal. Kalau itulah alasan awak, saya terima dengan redha. Semoga awak berjaya. Tapi jangan awak jilat balik ludah awak Faizal. Walaupun saya sayangkan awak..Saya tak akan dan tak mungkin menerima kembali orang yang pentingkan diri sendiri macam awak ni. Cincin pertunangan ni awak ambil balik, saya tak ingin pakai pemberian orang hipokrit macam awak..Awak boleh balik Faizal. Saya tak nak tengok muka awak lagi.” Ariana memalingkan mukanya. Tak sanggup melihat wajah yang tak berhati perut itu. Air matanya mengalir deras. Luluh hatinya.
Faizal mengambil cincin yang dihulurkan Ariana dan terus berlalu pergi.
Hati Ariana berkecamuk. Kalau diikutkan hatinya terasa bagai nak melaung sekuat hati agar segala yang terbuku di hatinya terlepas. Faizal dilhatnya begitu nekad dengan keputusannya.Kelibat Faizal semakin menghilang , yang berlalu tanpa menoleh, dihantarnya dengan pandangan yang kabur. Kabur dengan air mata. .Dia menangis sepuas-puasnya. Sungguh dia tak sangka setelah 2 tahun menjalin kasih, tali pertunangan juga telah diikat, Faizal tergamak berbuat sedemikian. Sanggup meninggalkannya demi memilih cita-cita.
Terasa amat murah harga dirinya ketika itu. Diharapnya Faizal merupakan lelaki yang mampu untuk membimbingnya dan juga membela keluargannya. Namun semua harapannya musnah. Hingga saat ini, Ariana masih tak dapat menerima kenyataan bahawa Faizal meninggalkannya demi sebab yang bodoh. Sangat bodoh!! Puas dia merayu tapi Faizal memang sudah nekad dengan keputusannya. Ya Allah Ya Tuhanku! Bantulah hamba-Mu ini menempuh dugaan ini Ya Allah. Aku redha jika dia bukan jodohku, Kau kuatkanlah hatiku ini Ya Allah.
“Erm..maafkan saya, Ariana..” Terkejut Ariana ketika suara seorang lelaki menyapa dari sisinya. Pantas dia menyeka air matanya. Segan.
“Awak siapa?” Ariana mengalihkan pandangannya ke arah lelaki itu.Suaranya masih serak akibat menangis.Terkebil-kebil matanya memandang lelaki yang berpakaian sut serba hitam di hadapannya itu.
“Takziah untuk awak” Dengan selamba sekali lelaki itu bersuara.
Ariana tercengang. Mukanya kemerahan menahan perasaan yang berbaur.
“Dah berapa lama awak mengendap saya tadi hah? Tak malu ke? Dah lah datang rumah orang tak bagi salam. Main terjah je, lepas tu pandai-pandai mengendap orang.” berang betul Ariana dengan lelaki itu.
Lelaki itu tertawa dengan telatah Ariana yang sedang naik angin.
“Saya tak terniat pun nak mengendap awak tapi, dah awak berdrama swasta di depan rumah ni, saya tengok sajalah.Oh ya, mak awak ada Ariana?”
“Dah lah mengendap orang, lepas tu nak cari mak orang pula. Apa hal awak nak cari mak saya? saya tak kenal awak pun, dan saya rasa mak saya tak kenal awak pun, jadi awak pun silalah balik . Tak payah nak menyemak kat sini.” Ariana masih lagi berang dengan sikap lelaki di hadapannya itu. Dahlah hatinya sedang panas angkara Faizal, lelaki di hadapannya kini pula ibarat mencurah minyak ke atas api. Makin marak kemarahannya menyala.
“Amboi garangnya anak Pak Zubir ni.” Ngomel lelaki itu.
“Hah, siap tahu nama arwah ayah lagi. Awak ni siapa hah?” Ariana mula meninggi suara.
“Apa bising-bising ni Ari?” kedengaran suara ibunya melaung dari atas rumah.
“Ni mak , ada orang gila nak jumpa mak. Gaya macam orang baru keluar dari hospital sakit jiwa lagaknya mak.” Laung Ariana kembali. Puas hatinya dapat mengenakan lelaki di hadapannya itu.
“Akhil ke tu? Masuklah. Dah lama makcik tunggu kamu.” kelihatan ibunya tersenyum manis kepada lelaki di depannya .
Lelaki yang bernama Akhil itu hanya mengenyitkan matanya ke arah Ariana tanda kemenangan.
Akhil? tak pernah pun mak sebut nama lelaki ni’ Ariana tertanya-tanya dalam hati. Terlupa sebentar dengan kemarahannya sebentar tadi.Dia mengekor Akhil masuk ke dalam rumah dengan perasaan yang berbaur.
“Ari, tolong buatkan air untuk si Akhil ni sayang, dari jauh dia datang ni” lembut suara ibunya meminta.
Ariana menyumpah-nyumpah di dalam hati. Dia masih tidak puas hati dengan lelaki yang bernama Akhil itu. Tapi, demi ibunya dia terpaksa memendam rasa. Dia perlu menjaga hati ibunya yang sedang sakit . Tidak mahu hati ibunya terluka.
Faizal... tiba-tiba hatinya terdetik. Fikirannya kembali berserabut. Sedih.Matanya berair kembali.
Selesai membancuh air, Ariana menatang dulang kembali ke ruang tamu, di mana ibunya dan lelaki yang bernama Akhil itu sedang berbual rancak.
“Jemputlah minum Akhil. Ni saja yang makcik mampu hidangkan untuk kamu Akhil. Kamu tengok sahajalah keadaan makcik ni. Sakit. Dah banyak sangat menyusahkan Ari. Nak harapkan gaji dia bekerja di kedai makan depan tu, berapalah sangat. Ini pun untung Mak Jah, si tuan kedai tu bagi kami menumpang di pondok buruk ni.”
“Alhamdulillah makcik, air ni pun dah lebih dari cukup. Mana Aris makcik?”
“Dia ke sekolah. Lagipun hari ni kan hari terakhir sekolah sebelum cuti semester. Banyak agaknya pesanan cikgu di sekolah tu sempena cuti sekolah ni.Sekejap lagi balik lah tu”
Ariana bingung. Siapa gerangan lelaki yang bernama Akhil ni? kenapa begitu banyak perkara berkaitan keluarganya dia tahu.
“ Ariana, mari mak kenalkan. Ini Akhil cucu angkat datuk kamu. Akhil ni Ariana anak makcik, sepupu kamu.”
“Mak, bila masa Ari ada datuk..” Ariana tiba-tiba berang mendengar nama datuknya diungkit.
Setahunya jika betul datuk yang dimaksudkan ibunya itu, lelaki itulah yang juga penyebab keluarganya susah sebegitu. Masih segar di ingatannya, ketika umurnya 12 tahun, dia dan ibunya dihalau keluar bagaikan binatang dari banglo yang tersergam indah di bandaraya KL itu. Meranduk hujan lebat di tengah kepekatan malam.
“Ari. Datuk kamu ada di pekan ni. Dia menginap di Awana Kijal Resort sekarang ni. Dia ingin berjumpa dengan kamu nak.” lembut suara ibunya memujuk.
“Mak,apa ni? Mak tak ada cakap apa-apa pun dengan Ari. Kenapa ni mak?” Ariana membentak.. “Akhil, kamu tunggu di luar sebentar ya. Makcik nak berbincang dengan anak dara makcik ni sebentar. Tunggu ya!”
Akhil hanya mengangguk kepala sambil berlalu ke anjung rumah.
“ Mak, kenapa ni? macam mana mak boleh terlibat dengan orang tua tu lagi? Mak tak ingat ke apa yang dia dah buat pada kita dulu?” Ariana cuba mengawal kemarahannya.
“ Ari, maafkan mak. sebenarnya sebaik saja mak dapat tahu penyakit mak bertambah teruk dan tiada harapan lagi, mak terus sahaja utus surat kepada datuk kamu. Mak harap dia dapat menjaga kamu dan Aris bila mak dah tiada nanti.” Azizah cuba menyejukkan hati anaknya itu.
“ Jangan cakap macam ni mak. Tolong jangan sebut pasal kematian ni mak boleh tak? Ari akan cari wang perubatan mak tu. Ari pun boleh jaga Aris, sementara mak nak pulih nanti. Tapi mak tolonglah jangan hubungi orang tua tu lagi. Tak cukupkah dengan apa yang dia dah buat pada mak dulu? Pada kita sekeluarga dulu mak?”
Di kala itu dia terimbas kenangan pahit 15 tahun lalu ketika ibu dan dirinya dihalau oleh datuknya. Masih dia teringat betapa kejamnya orang tua itu memfitnah ibunya berzina dengan tukang kebun rumah itu sedangkan semua itu dirancangnya sendiri. Betapa kecewanya dia melihat ayahnya juga turut mempercayai kata-kata datuknya itu. Dengan perasaan yang kecewa itu ibunya pergi membawa diri ke Timur Semenanjung tempat kelahirannya.
“Ari, demi mak, kamu pergi jumpa datuk kamu tu ya. Ari mak tak pernah mendidik anak-anak mak jadi orang yang pendendam. Mak tak nak Ari begitu ya sayang. Sedang Nabi ampunkan umatnya Ari. Ari pergi ya?” ibunya cuba memujuk.
Ariana masih terdiam. Berat hatinya untuk menjawab. Untuk menjawab tidak ,takut hati ibunya akan kecewa.
“Ari??” Azizah memanggil lagi.Dia tahu hati anaknya itu belum dapat menerima situasi seperti ini. Dia juga tahu marah Ariana terhadap datuknya masih belum pudar.
“Baiklah mak, kalau itu yang mak nak. Ari akan ikut .” luah Ariana perlahan.
Hatinya berbaur, namun terlintas juga di hatinya, sedangkan ibunya sanggup melupakan perbuatan datuknya itu apatah lagi dirinya yang tiada kaitan dengan permasalahan itu, walaupun marah masih ada.
“Jom Ariana?” Akhil yang tiba-tiba masuk, bersuara seperti tahu perbincangan Ariana dan ibunya sudah selesai.

2 comments:

  1. bile nk sambung...lama dah tgu tau....cpt la...tak sabo dh....

    ReplyDelete
  2. bla nk smbg??
    dh lma xda smbgn..

    ReplyDelete