Thursday, May 6, 2010

Isteri Gelapku - Bab 5

“Akhil, tengah hari ni,kita lunch together?” Camelia merapati Akhil yang sedang ligat menaip sesuatu dalam komputer ribanya di pejabat.

“Tak boleh I ada lunch appointment sekejap lagi. You ajaklah orang lain. By the way, you ni memang tak ada kerja ke Camelia? Senang sepanjang masa. Walau macam mana pun you kena ingat yang I ni majikan you. So please behave would you?” Akhil mula berang. Rimas dengan telatah Camelia yang menjengkelkan. Walau dia tahu Camelia seorang pekerja yang cemerlang, namun sebagai pekerja dia harus menjaga batas-batasnya.

“You ni kenapa Akhil, pagi-pagi dah marah-marah. Okey, next time we’ll have it ya. I keluar dulu. Bye.” Camelia sedaya upaya menyembunyikan rasa marahnya dan berlalu pergi. Dia tahu dia harus bersabar hingga Akhil menerimanya. Dia yakin Akhil akan berjaya ditawan.

Cuma dia gusar, akhir-akhir ini Akhil jarang berada di pejabat dan kadangkala terus tidak pulang semula ke pejabat selepas waktu makan tengah hari. Apakah yang disibukkan Akhil? Akhil tidak pernah seperti ini sebelumnya. Baginya, Akhil seorang yang amat committed dengan kerjanya. Nampaknya dia harus menyiasat .Barulah hatinya akan lega. Barulah dia tidak akan berputih mata.

************************************************************************

Sejak Ariana menginap di pangsapuri Akhil beberapa bulan yang lepas, sudah menjadi rutinnya untuk berulang-alik ke hospital setiap pagi , tengahari, petang dan malam.

Cuma kadangkala Akhil akan membawanya menjenguk Aris di sekolah. Lega hatinya melihat Aris yang pandai membawa diri. Aris memang anak yang mendengar kata dan juga pelajar yang pintar.Cuma dia terasa agak iri hati melihat kemesraan Akhil dan Aris. Sejak bila entah mereka menjadi rapat sebegitu. Setahunya,Aris bukan senang rapat dengan orang yang tak dikenali. Tapi melihat keakraban mereka berdua menimbulkan rasa iri hati pula.Aris begitu manja dengan Akhil. Sungguhpun begitu,dalam diam Ariana juga suka melihat kelembutan dan kesabaran Akhil melayan karenah Aris.

Sebagaimana yang diberitahu Aris, Akhil selalu melawatinya di sekolah. Boleh dikatakan setiap hari. Akhil juga akan memeriksa kerja sekolahnya,menanyakan hal Aris di sekolah bersama rakan-rakan, juga membawa Aris keluar untuk berjalan kadangkala. Walaupun terasa sedikit iri hati,namun Ariana lega sekurang-kurangnya Akhil turut membantunya memainkan peranan menjaga kebajikan Aris dan sekurang-kurangnya Aris juga tak akan rasa terpinggir di sana.

Cuma hatinya bimbang dengan keadaan ibunya yang semakin teruk. Badan ibunya semakin lemah. Masih menunggu penderma yang sesuai kata doktor.

Sedang dia menenangkan diri di kafe hospital dan seperti biasa mengelamun, tiba-tiba seseorang menggamit bahunya. Terkejut beruk juga. Namun hatinya sedikit lega sebaik sahaja melihat wajah Akhil yang bersahaja mengambil tempat di sebelahnya.

Ariana sedar kehadiran Akhil dalam hidupnya akhir-akhir ini banyak membantu dirinya. Kepadatan jadual kerja tidak menghalang Akhil dari melawat Ariana di hospital. Jika tidak sempat bertemu di hospital Akhil akan singgah di pangsapurinya untuk bertanya khabar dirinya dan juga ibunya.

Semakin hari Ariana semakin mengesyaki diri sebenar Akhil. Bagi seseorang untuk berlakon baik selama beberapa bulan ini adalah amat mustahil. Termasuk hari ini sudah hampir enam bulan mereka sah menjadi suami isteri. Namun sikap Akhil tetap sama dengan Akhil yang dikenalinya di KL bukannya Akhil yang kaki penyibuk, yang mula-mula dia kenali di kampungnya dulu.Tapi masih awal untuk Ariana mencapai konklusi mengenai Akhil. sedangkan Faizal pun mula menunjukkan taring setahun lepas mereka kenal. Inikan pula Akhil yang sememangnya terbukti hipokrit dari mula dia kenal. Dasar pengikis!!

“Akhil, awak dah jenguk mak ke tadi?” Ariana akhirnya memulakan bicara setelah agak lama mereka duduk di situ. Malas mahu melayan perasaannya.

“Hmm..dia tengah tidur. Saya dari wad dia lah ni. Dah agak dah awak akan ada di sini. Awak dah makan?”

“Akhil..awak ni dah tak ada ayat lain ke awak nak tanya. Setiap hari asyik nak tanya saya dah makan ke belum. Cubalah tanya soalan lain. Dah saya duduk di kafeteria ni, tentulah saya dah makan. Apalah!!! .” Ariana menghela nafasnya. Cuba mengawal perasaannya.

Entah mengapa hatinya tiba-tiba naik angin. Mungkin terbawa-bawa oleh lamunannya sebentar tadi. Sedangkan apa lah salah si Akhil itu. Cuma prihatin dengan kebajikannya.

“Laa..takkan saya nak tanya , hai Ariana, awak nak kahwin dengan saya tak? Oh tak sesuai pula, awak kan dah memang isteri saya. Tak pun soalan ni, Hai Ariana mari kita pergi bulan madu? Ha, ni kira okey la sikit sebab belum lagi kan? Hmm..Tak pun yang ni, hai Ariana bila awak nak mengandung ni? Soalan ni baru kena kot.. Apalah awak ni Ariana. Kira nak melenting sahaja.Kira okey lah tu saya tanya awak dah makan ke belum. Lagipun kita kan kat kafeteria. Mestilah tanya pasal makan. Takkan nak tanya soalan lain pula.” Akhil menyeringai melihat wajah Ariana yang membungkam.

Ariana terdiam seribu kata. Merah padam mukanya menahan malu. Memang betul kena dengan batang hidungnya. Bukan calang-calang orang mamat ni. Kita yang nak mengenakan dia akhirnya kita yang terkena balik. Tahulah kaya raya, boleh beli insurans banyak-banyak. Tapi adakah syarikat insurans mahu membayar jika mulut seseorang itu dibedil dengan sengaja?? Ariana tersenyum puas. Walaupun tak realistik, namun hatinya puas dapat mengenakan Akhil walaupun dalam fikirannya sahaja.

Tapi sekurang-kurangnya lawak bodoh Akhil tadi melegakan panas di hatinya sebentar tadi. Cuma kebimbangan dengan keadaan ibunya masih lagi sarat di dadanya.

“Oh ya Ariana,hampir saya terlupa. saya ada berita gembira sebenarnya nak beritahu awak” wajah Akhil yang tiba-tiba ceria bagai tak sabar-sabar untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.

“Apa dia?” Ariana memandang sinar mata Akhil. Berdebar menanti berita yang bakal dikhabarkan.

“ Sebelum ke wad mak tadi, saya ke bilik doktor dulu. Dia beritahu yang dah ada penderma buah pinggang yang sesuai untuk mak awak. Sebelah sahaja lah. Tapi,walaupun sebelah ,seperti yang diterangkan doktor, itu pun dah memadai untuk mak jalani kehidupan seharian dengan selesa.” Girang sekali Akhil menerangkan.

“Alhamdulillah, leganya hati saya Akhil” begitu lega dan gembiranya hati tanpa menyedari yang dia kini berdakapan erat dengan Akhil.

Agak lama mereka berdakap. Entah dari mana perasaan aneh tetapi mendamaikan menyelinap masuk ke lubuk hatinya. Entah mengapa Ariana tiba-tiba berasa janggal. Dengan perlahan dia meleraikan dakapan mereka. Malu untuk menatap wajah Akhil.

Akhil cuma mampu tersenyum melihat telatah Ariana. Sedangkan dirinya juga merasa canggung dengan situasi mereka itu. Sungguh dia tak menyangka Ariana akan berbuat sedemikian. Sesungguhnya hanya Tuhan yang tahu betapa bergetarnya jiwa lelakinya dengan perbuatan Ariana sebentar tadi.

“Err..maafkan saya Akhil. saya tak sengaja. Gembira sangat sampai tak terkawal diri.” Ariana teragak-agak.

“Saya rasa tak ada salahnya apa yang kita buat tadi Ariana. Lagipun kita suami isteri yang sah. Tak payah nak mengharamkan apa yang dihalalkan. Mari kita pergi jenguk mak. Dah bangun rasanya dia. Mesti dia gembira dengan berita yang bakal kita khabarkan” Akhil menghulurkan tangannya, membuang rasa kekok antara mereka.

Ariana terkelu, namun dengan hati yang berbunga, senyuman diukir, dia menyambut huluran tangan Akhil. Mereka bergandingan tangan menuju ke wad ibunya.

Dari sudut kafeteria itu, kelihatan sepasang mata yang memerhati tingkah mereka berdua dengan hati yang terbakar.

Isteri Gelapku - Bab 4 ©

Sayu hati Ariana melihat ibunya yang terlantar di katil hospital .Termasuk hari ini, sudah hampir dua minggu ibunya terlantar di sini. Sebaik sahaja prosedur pendaftaran dilakukan, ibunya terus didaftarkan masuk ke hospital pakar tersebut.

Menurut doktor,mereka masih menunggu penderma bagi mengganti buah pinggang ibunya dan sementara itu ibunya akan menjalani rawatan hemodialisis sebagai pengganti fungsi buah pinggang.

Ariana Cuma tersenyum hambar sebaik sahaja kelopak mata ibunya terbuka perlahan, baru sedar dari lena.

“Ari tak balik lagi ke sayang?” lemah Azizah bersuara.

Ariana hanya mampu menggelengkan kepala. Tak mampu bersuara kerana terlalu sebak melihat keadaan ibunya.

Rawatan hemodialisis bukanlah mudah seperti yang disangka. Tubuh ibunya perlu dicucuk dengan dua jarum besar untuk proses pencucian darah dijalankan. Bayangkan ibunya perlu menanggung kesakitan dalam proses itu hampir empat jam lamanya. Itupun hanya untuk satu sesi sahaja. Belum masuk sesi-sesi yang lain. Proses hemodialisis ini harus dijalankan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Ya Allah Ya Tuhanku..Kau bantulah ibuku mengharungi penyakitnya ini Ya Allah!!

“Assalamualaikum” serentak penghuni wad itu menoleh ke arah pintu masuk. Kelihatan Akhil yang berkemeja kemas melangkah masuk sambil menjinjing bunga segar.Tersenyum manis ke arah Ariana. Ariana hanya tertunduk. Berbaur.

“ Bagaimana Mak Cik hari ini? Ada perubahan? “ lembut Akhil bertanya sambil berbalas pandangan dengan Ariana.

“Macam gitu je lah Akhil. Masih menunggu. Kamu tolong nasihatkan Ariana suruh dia balik berehat dulu . Dari makcik mula masuk sini, dia dok berkampung kat sini tak balik-balik. Tidur pun tak menentu. Risau makcik.”

“Mak, Ari okey. Mak jangan risau ye.lagipun Ari risau kalau ada apa-apa kecemasan ke. Kalau mak perlukan Ari ke. Kalau dah ada penderma ke. Ari tak sempat nak datang. Ari rela tunggu mak kat sini. Mak jangan risau ya. Yang penting kesihatan mak ” Ariana cuba memujuk ibunya.

“ Oh ya Ariana, saya dah tempahkan bilik hotel sebelah hospital ni. 5 minit sahaja perjalanan dari sana ke sini. Baju awak pula saya dah mintak bibik tolong kemaskan. Mari kita ke sana. Lagipun dah seminggu awak tak tengok Aris di sekolahnya. Dia rindukan awak dan mak dia. Kita pergi lawat Aris dulu di sekolah ya , awak balik berehat di hotel selepas tu." Aju Akhil sambil memegang bahu Ariana lembut.

Ya Allah, hampir aku terlupa hal adikku. Nasib baik Akhil telah mendaftarkan Aris ke sekolah persendirian yang ada kemudahan asrama. Bagai memahami situasi keluarganya ketika itu. Dan mujur Aris, adiknya itu seorang yang pandai berdikari. Memang mereka dua beradik terpaksa berdikari semenjak dari kecil memandangkan situasi keluarga kecil mereka itu yang amat daif.

“Pergilah Ariana. Nanti kalau ada apa-apa bukannya jauh pun kamu nak ke sini. Terima kasih banyak-banyak Akhil. Banyak dah makcik susahkan kamu.”

“ tak ada susahnya mak cik. Saya dah anggap makcik macam mak saya. Makcik jangan risau. Yang penting makcik sembuh cepat.” Akhil tersenyum seperti kebiasaannya sambil matanya menggamit Ariana agar menurutinya. Ariana bangkit mencium tangan ibunya dan berlalu menuruti Akhil. Dia pasrah.

************************************************************

“Kak Ari tak payah risau Aris di sini ya. Aris ada ramai kawan-kawan di sini. Kak Ari temankan mak kat hospital je ya. Lagipun Abang Akhil ni, tiap-tiap hari datang lawat Aris di sini. Macam-macam dibawanya.”

Sehingga kereta Akhil memasuki perkarangan sebuah bangunan mewah di hadapannya itu, Ariana masih lagi terngiang-ngiang kata-kata adiknya , malah sepanjang perjalanan pulang dari sekolah adiknya Aris, dia asyik memikirkan kata-kata itu. Namun , Ariana bangga dengan ketabahan adiknya itu. Serentak itu dia mendongak memandang Akhil yang berada di sebelahnya.

Memandang wajah yang tenang itu membuatkan Ariana bagai tidak percaya dengan sikap prihatin Akhil terhadap dirinya dan keluarganya. Bak kata bibik di rumah, dari dulu Akhil memang seorang yang amat sibuk dengan kerja di pejabat. Bagaimana dia boleh meluangkan masanya untuk hal yang tiada kena mengena dengannya. Hingga mempunyai masa pula untuk melawat Aris di sekolah setiap hari. Oh ya lah, tiba-tiba dia teringat sebab yang membuatkan Akhil bersetuju menikahinya. Hai..Tak sangka demi duit ,manusia sanggup melakukan apa sahaja. Dahlah hipokrit. Pandai pula bermuka-muka. Hishh!! Ariana mengetap bibirnya. Menahan rasa.

Selepas memarkir kereta mereka berjalan seiringan menuju ke bilik hotel yang dimaksudkan Akhil.

“Akhil, besar sangat bilik ni. Mahal ni. Dah cukup rasanya awak membazirkan duit awak pada saya. Jom kita tukar bilik yang kecil” Ariana menggumam sebaik sahaja tiba di destinasi .

“ Siapa kata saya membazir duit? Ini rumah saya lah. Saya beli dah lama pun. Ini tempat privasi saya , lagipun awak isteri saya,tanggungjawab saya. Saya tak suka isteri saya tidur di tempat yang tak ketahuan. Awak jangan risaulah, saya takkan minta lebih-lebih dari awak. Cukup lah saya tunaikan nafkah saya terhadap saya. Dan...Awak jangan salah faham pula. Bukan nafkah tu yang saya maksudkan. Saya takkan paksa awak lah.” Akhil tersenyum nakal melihat wajah Ariana yang mencebik.

Ariana terpaksa menelan semula kata-katanya. Malas mahu berlawan kata dengan Akhil. Cukup lah dengan beban yang sarat dengan melihat ibunya terlantar. Dengan adiknya di sekolah yang asing .

Namun, masih jelas di ingatannya pada malam pertama dia menjejak kakinya kembali di rumah Dato’ Sulaiman. Menyetejui kebenaran kata-kata Akhil sebentar tadi. Malam tersebut , malam yang sepatutnya dia menerima tanggungjawabnya untuk memberi nafkah kepada suami yang baru dinikahinya. Dan, masih jelas terngiang kata-kata lembut dan ikhlas dari bibir Akhil.

“ Ariana, saya tahu saya wajib minta nafkah batin dari awak, tapi saya takkan paksa awak. Saya beri masa untuk kita kenal antara satu sama lain dulu. Saya tahu awak dah cukup terkejut dengan semua yang berlaku. Saya juga sama. Kita beri masa untuk diri masing-masing ya. Awak beritahu saya kalau awak dah bersedia okey. Selamat malam.” Akhil mengucup dahinya, menarik selimut dan tidur di sebelah nya.

Walaupun tidur bersebelahan ,malam itu memang dia tidur dengan nyenyak. Hanya sekali-sekala diganggu oleh dengkuran halus Akhil dan pergerakan lelaki itu menukar posisi pembaringannya. Tetapi hanya Tuhan yang tahu betapa berdebarnya hati berbaring di sebelah kaum yang bernama lelaki ini. Lebih-lebih lagi Akhil. Aroma badannya yang maskulin. Dengan raut wajah yang tenang ketika lena. Fuh!! Boleh menangis beb...

Betapa leganya hati Ariana semenjak itu. Dia mula mempercayai Akhil. Dia mula senang dengan Akhil walau pada mula pertemuan mereka, memang sering bergaduh. Ariana tersenyum. Sungguhpun begitu,hatinya sering tertanya-tanya sifat sebenar Akhil. Sejak mula dia mengenali Akhil, sifat buruk Akhil yang dia tahu cuma ketamakkannya ingin membolot harta Dato’ Sulaiman. Perangainya kini begitu kontra perbezaannya jika dibandingkan dengan Akhil yang dia mula-mula kenali di kampungnya hampir sebulan lepas. Akhil yang tak berperasaan. Akhil yang suka menyibuk hal orang.

Fikirannya melayang pada hari mula-mula dia bertemu Akhil. Hari yang merupakan hari perpisahannya dengan Faizal. Bekas tunangannya.

Faizal. Menyebut nama Faizal sahaja hatinya menjadi panas. Sakit hati. Sampai hati Faizal memperlakukannya sedemikian rupa. Alasan untuk memutuskan pertunangan sementara demi ingin fokus pada perniagaan yang baru dibukanya? Tolonglah,itu semua alasan belaka. Alasan yang bodoh untuk Selama lebih dua tahun mereka bersama? Memang tak masuk dek akal jika difikirkan kembali. Pada mulanya memang bukan sikapnya suka membuang masa melayan lelaki. Hidupnya penuh dengan kerja demi mengumpul duit untuk rawatan ibunya. Pagi menolong di warung Mak Jah, tengahari ambil upah mengemas rumah orang, malam mengajar budak-budak mengaji. Jadualnya penuh setiap hari.

Hinggalah suatu hari, ketika Ariana sedang kelam kabut melayan pelanggan di warung Mak Jah, muncul Faizal bersama seorang rakannya. Entah mengapa hatinya berdebar-debar melihat wajah segak Faizal. Namun Faizal tidak mengendahkannya. Hanya menumpukan perhatian pada juadah di meja. Menurut Mak Jah, Faizal merupakan pemilik kafe siber yang baru dibuka di kampungnya itu. Maka,apa lagi? Setiap hari dia akan bersemangat untuk ke kerja agar dapat melihat wajah Faizal yang semakin hari semakin dirindui.

Apa yang istimewanya Faizal di matanya adalah, Faizal tidak seperti pemuda-pemuda kampung yang lain. Yang jika bertandang di warung Mak Jah tak habis-habis mengganggunya. Rimas.

Faizal seperti berada di dunianya sendiri. Hinggalah suatu hari yang malang di mana Ariana kecuaian dan tertumpahkan air teh panas ke baju salah seorang pelanggan kedai itu, dan pelanggan itu apa lagi? Teruk Ariana dihambur. Puas Mak Jah dan dirinya meminta maaf atas kejadian itu, namu pelanggan tersebut masih lagi menghamburkan kata-kata yang kurang enak terhadap Ariana sehinggalah disampuk oleh suara seseorang yang menenangkan pelanggan tersebut. Walaupun hatinya sedih dihambur oleh pelanggan tersebut, namun dari sedih terus hatinya berseri melihat suara yang membelanya itu milik Faizal. Lelaki yang diminatinya.

Di saat itu, bermulalah bibit perkenalan antara mereka. Dari perkenalan muncul lah bibit-bibit kasih. Hampir setahun mereka bersama Faizal berhasrat ingin mengikat tali pertunangan. Ariana dan ibunya menerima dengan hati yang lapang.

Tetapi entah di mana silapnya, sebulan selepas mereka mengikat tali pertunangan Faizal semakin berubah. Faizal yang disangka lembut telah berubah wajah. Semakin hari semakin menunjukkan taringnya. Panas baran dan semakin jarang berjumpa dengannya. Banyak kali Ariana cuba bersabar kerana setahunya Faizal memang mengalami masalah dengan perniagaannya ketika itu. Dirinya ketika itu bagai perigi mencari timba. Bila ingin bertemu Faizal akan mengelak. Pelbagai alasan yang diterima. Sibuklah. Itulah inilah.

Hari ke hari Ariana mempertikaikan kasih antara mereka. Dari hari masuk ke minggu, minggu ke bulan tidak mendapat khabar dari Faizal. Hinggalah suatu hari Faizal muncul di depan rumahnya dengan berita yang benar-benar tak disangka. Ingin memutuskan hubungan. Kenapa? Tapi entah mengapa memang minggu-minggu sebelumnya Ariana bagai tahu hari itu akan muncul jua. Dia sudah redha dengan nasibnya. Perasaannya selama ini adalah kerana obses terhadap Faizal yang berpewatakan lembut dan membela. Sedangkan Faizal yang sebenarnya adalah berbeza dari apa yang dianggapnya.

Kalau redha kenapa dia beriya menangis pada hari tersebut? Hari di mana, Faizal meluahkan hasrat untuk memutuskan hubungan?Tentulah. Tangisan itu hanya kerana risau ibunya menanggung malu. Risau jika dirinya dituduh melakukan perkara sumbang kerana pihak lelaki yang ingin memutuskan tali pertunangan. Risau jika dirinya tersilap menilai Faizal. Dia tak mahu ibunya menanggung malu dengan halnya itu, apatah lagi dengan keadaan ibunya yang tidak sihat.

Sekarang dia tidak perlu risau. Tiada apa yang perlu dimalukan memandangkan tiada siapa yang mengenalinya di KL ini. Dia akan memberitahu ibunya hal yang sebenar sebaik sahaja ibunya sembuh.

Tapi yang paling dia tidak puas hati adalah ketika Akhil yang tiba-tiba muncul ketika mukanya sememeh dengan air mata. ‘Takziah untuk awak’ pula yang diucapkan Akhil. Mamat ni memang suka menyibuk. Antiklimaks! Dia pula yang dituduh berdrama swasta ketika itu . Boleh pula buat muka selamba pula tu selepas kena tempik. Ariana tiba-tiba tersengih. Hilang gusar hatinya apabila teringatkan telatah Akhil.

“ Hah, apa yang tersengih lagi tu. Pergilah masuk bilik berehat.” Teguran Akhil membuatkan Ariana tersentak dari lamunannya. Lantas dia bergegas ke bilik utama. Sempat dia mengerling Akhil yang sedang tersenyum sambil mengelengkan kepala. Kelakar agaknya melihat telatah dirinya yang kuat mengelamun.

Usai mandi dan solat Zuhur, Ariana keluar menuju ke ruang tamu. Tiada kelibat Akhil kelihatan di dalam pangsapuri itu. Mungkin sudah ke pejabat agaknya. Lantas Ariana ke dapur, melihat apa yang boleh dimakan. Lapar juga perutnya. Dia terbau sesuatu yang enak dari arah meja makan. Mesti ni kerja Akhil. Ariana tersenyum sendiri.

‘ Ariana , saya tak tahu awak suka makan apa. Saya pesan makanan yang saya suka. Harap kena dengan selera awak. Saya tinggalkan duit RM500.00 buat awak belanja. Saya ke pejabat dulu. Jaga diri’

Nota ringkas itu menerangkan ke mana menghilangnya Akhil. Ariana hanya mampu tersenyum. Membuka penutup makanan, terbuntang matanya melihat juadah yang pelbagai di hadapannya. Melampau betul Akhil ni. Dia ingat aku ni pelahap agaknya. Namun hatinya senang mengenangkan keprihatinan Akhil terhadapnya. Dengan lafaz bismillah dia menjamu selera.

*****************************************************************

Entah Mengapa hatinya rasa berbunga-bunga. Akhil tidak pernah merasa perasaan sedemikian seumur hidupnya. Senyuman pula tidak pernah lekang dari mulutnya sepanjang perjalannya dari rumah tadi. Terbayang-bayang wajah polos Ariana. Bibirnya mengukir senyuman kembali.

“Akhil, wait!!!” suara halus Camelia mematikan langkahan dan juga lamunannya.

“Amboi, tersenyum-senyum sampai ke telinga. You dari mana ni? Kenapa sekarang ni I tengok you asyik hilang saja ya? And I’m wondering where have you been? Susah nak nampak muka you di pejabat sekarang. Ada projek besar ke? Share lah sikit.” Camelia merapati Akhil. Penuh dengan gaya yang menggoda.

“Tak ada apalah. You ni tak payahlah kisah dengan hal I boleh tak? Dan bila masa I lantik you jadi pembantu peribadi I? Tak ada kan? So, please mind your own business can you Cam?” Akhil mengalihkan pandangannya ke arah parkir kereta. Meluat mahu menatap susuk Camelia yang seksi itu.

“Ala, janganlah macam tu Akhil, jom kita pergi makan nak tak? Lepas ni ada Regional Sales Meeting kan? I ada benda nak discuss dengan you ni pasal my region’s sales. Kita ke bilik meeting bersama-sama lepas makan ya.” Camelia cuba memancing minat Akhil. Dia tahu Akhil seorang yang serius bila berhadapan dengan hal kerja. Akhil tak akan memandang ringan jika ada pekerja yang memerlukan khidmat nasihatnya.

“Apa yang you nak bincangkankan? Shoot!” Serius Akhil bertanya sambil meneguk air jus oren di hadapannya.

“Makan dulu baru disscuss ya? Lagipun susah nak disscuss through eating macam ni.” Camelia cuba memberi alasan.

“ Cam, kenapa you suka sangat nak buang masa I. You tahu kan yang jadul I padat sangat sekarang ni.. So, please lah. Jangan buang masa macam ni.” Akhil membuang pandangannya ke luar kafeteria di pejabatnya itu. Sudah jemu melayan telatah gedik Camelia.

“Sampai hati you layan macam ni Akhil. You kan tahu yang I sayangkan you Akhil” Camelia cuba menggenggam jari jemari Akhil namun Akhil pantas menepis.

“Hah..Cam di sini rupanya you. Puas I cari you dari tadi. Akhil pun ada? Hai bro. Lama tak jumpa kan? Sejak menang syer 80% ni kan? Oh ya aku dengar kau asyik ulang-alik ke Terengganu sekarang ni? Kenapa? Sibuk cari Mak Ngah dengan Ariana? Sibuk nak tolong orang tua tu tebus dosa dia? Oh, patutlah senang-senang dia nak bagi orang macam kau ni share sampai banyak tu? Rupanya ada udang di sebalik batu.” Akmal memerli selamba sambil mengambil tempat di hadapan Akhil , bersebelahan dengan Camelia.

Camelia mencuka. Berang rancangannya untuk menggoda Akhil terganggu lagi.Namun dia memasang telinga, mendengar setiap butir kata yang diucapkan oleh kedua lelaki yang sedang duduk semeja dengannya kini.

“Hmm..aku sibuk sikit sekarang ni. Jangan asyik berpoya-poya sahaja. Sekali-sekala singgahlah lawat orang tua tu.Oh ya, pasal aku ke Terengganu tu, kau tak payahlah sibuk. Aku nak buat apa di sana pun kau tak payah masuk campur ya. Kau tu bila nak jenguk Tok di rumah” Akhil cuba mengubah topik yang diajukan Akmal.

“Ah, buat apa aku risaukan hal orang tua tu. Dia bukan kisah pun aku ni cucu dia . Yang dia sibuk nak menyuap anak pungut ni. Aku pun tak tahu kenapa?” Akmal masih lagi berdegil.

Akmal sememangnya tidak puas hati dengan sikap pilih kasih Dato’ Sulaiman. Entah di mana silapnya, sedangkan dari kecil dulu, dialah cucu kesayangan keluarga itu. Hingga sepupunya, Ariana pun dilayan seperti anak pembantu rumah. Namun, sebaik sahaja Akhil menjejakkan kakinya ke rumah itu, segalanya berubah. Segala kebajikannya terabai. Dato’ Sulaiman sudah mula meminggirkannya. Akhil jahanam ini, memang pandai bermain kata. Tak guna!

“Itulah dinamakan rezeki datang bergolek. Nak buat macam mana? Dah nasib aku. Aku kan memang handal bermain kata. Okey lah, kalau tak ada hal lain aku gerak dulu. Kita jumpa dalam meeting room nanti ya. Bye.” Akhil bingkas bangun dan berlalu pergi. Malas mahu mengeruhkan lagi keadaan.

See Cam? Orang macam tu yang you tergila-gilakan. Tolonglah. I pun tak tahu apa yang you suka sangat pada orang tamak harta macam tu. Cubalah sesekali you bagi perhatian pada I ni. Confirm you boleh lupakan Akhil.”

“You ni suka tuduh-tuduh Akhil. I pun tamak juga apa? Tamakkan harta yang diwarisi Akhil.So we are even lah kan? Sepadan kan? Lagipun I tak inginlah nak bersama orang macam you ni” giliran Camelia pula yang bangun dan berlalu. Meninggalkan Akmal yang terpinga-pinga.

You jangan cakap besar Camelia. One fine day you pasti datang melutut pada untuk minta bantuan dari I ni.Akmal tersengih sendiri sambil memerhatikan lenggok Camelia yang semakin menghilang.

Wednesday, April 14, 2010

Isteri Gelapku - Bab 3 ©

Segalanya berlalu dengan pantas.Pernikahan Ariana dan Akhil berjalan lancar 14 hari selepas pertemuan Ariana dengan Dato’ Sulaiman di Awana Kijal Resort. Pernikahan mereka terpaksa ditangguhkan demi menguruskan hal pendaftaran pernikahan dan juga perpindahan Ariana sekeluarga ke Kuala Lumpur. Juga menguruskan perpindahan sekolah adik lelakinya, Aris ke sekolah yang berdekatan rumah Dato’ Sulaiman di Kuala Lumpur. Kebetulan cuti sekolah baru bermula minggu lepas.

Walau hanya disaksikan Tok Kadi, Dato’ Sulaiman dan dua saksi dari pihak lelaki, hati Ariana sudah cukup puas. Perasaan bersalah terhadap ibunya menjalar ke lubuk hatinya sepanjang upacara pernikahannya itu. Rasa bersalah sebenarnya kerana tidak memberitahu hal yang sebenar kepada ibunya. Harap-harap ibunya memahami situasinya. Dia berjanji dengan dirinya, dia akan menerangkan hal yang sebenarnya sebaik sahaja ibunya selesai pembedahan nanti. Apabila tubuh ibunya cukup sihat untuk menerima berita pernikahannya itu. Kemungkinan besar ibunya akan mendengar berita penceraiannya sekaligus sebagaimana perjanjian mulutnya dengan Akhil 2 minggu lalu.


Bergetar jiwa Ariana sebaik sahaja Akhil melafazkan akad nikah dengan penuh keyakinan dan dengan hanya sekali lafaz sahaja, mereka sah sebagai suami isteri.

Tangan Akhil dikucup dalam keterpaksaan, masih terasa lagi kehangatan kucupan Akhil di dahinya. Namun,semua itu hanya lakonan demi memuaskan hati Dato’ Sulaiman dan saksi yang hadir. Tak sangka Akhil juga pandai memainkan peranan. Mungkin jumlah habuan yang diterima begitu lumayan,hingga sanggup menerima apa sahaja yang dipinta Dato’ Sulaiman. Meluatnya!!!!

Namun, dirinya juga terasa bodoh. Bulat-bulat dia menerima usul dato’ Sulaiman. Akhirnya, setelah ditapis dan disaring, Ariana menganggap tiada salahnya jika menerima usulan tersebut. Semuanya demi kesihatan ibunya dan masa depan adiknya. Hanya mereka yang dia ada ketika ini.

Hanya Tuhan yang tahu betapa sebak hatinya ketika upacara pernikahan itu. Terpaksa menikahi lelaki yang tak dikenali. Lelaki yang materialistik.Tamakkan harta. Terbayang wajah Akhil yang tenang ketika perjalanan dari masjid ke rumahnya. Bagai tiada apa yang berlaku. Hipokrit. Hanya sepi menemani mereka sepanjang perjalanan pulang. Ariana mengeluh panjang mengenangkan episod malang yang bakal menimpa dirinya dalam beberapa bulan akan datang.

Kini, Ariana sungguh tidak menyangka dia akan menjejakkan kakinya ke rumah agam itu sekali lagi. Rumah yang pernah menghancurkan hati ibunya. Masih segar memorinya bagai baru semalam peristiwa itu berlaku.

Dia dan ibunya dihalau oleh ayahnya dan Dato’ Sulaiman. Ketika itu ibunya sedang sarat mengandungkan adiknya, Aris. Sayu hatinya mengenangkan Aris yang tidak pernah bertemu dengan ayah kandungnya sendiri. Ayah yang menidakkan kehadirannya di dunia ini. Ayah yang juga meninggal dunia seminggu selepas dia dan ibunya dihalau dengan kejam. Meninggal akibat kemalangan jalan raya.

Mereka hanya mendapat perkhabaran itu sesudah jenazah ayahnya itu selamat dikebumikan. Wajah ibunya di saat itu sangat memilukan. Dia sedar ibunya telah memaafkan dosa ayahnya dan sesungguhnya inilah kelebihan ibunya,mempunyai hati yang mulia. Tiada hasad dengki. Pemaaf. Sifat inilah yang dipupuk oleh ibunya terhadap dirinya dan adiknya sejak kecil.
Namun,kenapa hatinya masih tak dapat memaafkan atas semua yang berlaku?

Mujur Dato’ Sulaiman mempunyai hal penting di luar. Dia tak dapat menahan sakit hatinya ketika melihat muka bengis lelaki tua itu. Dari tibanya Dato’ Sulaiman di kampungnya, hatinya masih lagi tertanya-tanya akan kejujuran lelaki tua itu. Entah cerita apa yang direkanya hingga ibunya mempercayai terus. Mungkin bermodalkan air mata dan air liur kot!! Seperti kebiasaan, itulah juga kelemahan ibunya. Aduhai Ariana, sudah-sudahlah dengan mengelamun tu. Ariana tersenyum sendiri. Baru teringat sebenarnya.Bukankah ibunya yang mengirim surat kepada Dato’ Sulaiman memberitahu tentang keadaan mereka. Pastilah ibunya yang memulakan dulu. Alahai,tak pasal-pasal dapat dosa kering aku hari ni.

Dia menjeling kelibat Akhil yang menjinjing beg pakaiannya ke tingkat atas. Menyedari mata Akhil mengisyaratkan supaya menuruti langkahnya, Ariana hanya menganggukkan kepalanya perlahan.

Sekilas dia memandang ibunya yang baru lena di dalam bilik di hadapannya.

“Mak, Ari rela berkorban demi mak.Harap mak cepat sembuh” Sayu Ariana memandang ibunya yang lemah itu. Dengan perlahan dia melangkah mendaki tangga .

“Ariana,mari” Akhil menggamitnya sebaik sahaja dirinya tiba di tingkat atas. Ariana hanya menurut ,mengekori Akhil masuk ke dalam bilik yang luas itu.

“Ni bilik kita. Awak susun lah pakaian awak dalam almari tu sebelah pakaian saya. Ada apa-apa awak cari saya di bilik depan tu ya”


“Saya tidur dengan mak saya lah. Awak tak payah kisah hal saya. Awak buat hal awak saja ya”Ariana membuang pandangan nya ke luar tingkap. Malas hendak memandang wajah hipokrit di hadapannya itu.


“Ariana,kita suami isteri yang sah.Tak ada salahnya kita sebilik.Lagipun ni kehendak Tok. Awak tak boleh menolak.” Akhil pantas berlalu. Malas mahu memanjangkan keadaan.

Ariana mengomel sendirian. Hatinya berang. Berang dengan nasibnya yang tak ketahuan. Nasib baik ibunya masih lemah, tak larat mendaki tangga. Aris pula masih di kampung bersama Mak Jah, jiran yang amat dipercayai, menghabiskan cuti sekolah sebelum memulakan penggal baru di sekolah baru. Kalau tak, pasti kecoh dibuatnya. Dalam keterpaksaan dia menyusun pakaiannya ke dalam almari.

Apa mamat ni buat kat dalam bilik tu ? Kerja ke? Ke tengah bergayut dengan teman wanita? tiiba-tiba hatinya meronta-ronta ingin mengetahui. Sudah lebih 30 minit Akhil menghilang. Perlahan dia bangkit dan menghayunkan langkahnye ke bilik di hadapan.

Mengamati ruang yang luas. Terimbas kenangan zaman kanak-kanaknya. Dia hanya boleh bermain bersama anak orang gaji di rumah itu. Terpandang di satu sudut di mana dia pernah dimarahi Dato’ Sulaiman kerana cuai hingga terlanggar Akmal, sepupunya kerana sibuk bermain kejar-kejar bersama anak orang gaji di rumah ketika itu. Apalah dosanya hingga dia dibelasah teruk oleh orang tua itu sedangkan Akmal tiada apa-apa langsung. Banyak lagi kenangan pahitnya ketika di rumah itu dahulu. Malas untuk melayan perasaan sedihnya jika diimbas kembali kenangan-kenangan itu.

Alangkah terkejutnya dia melihat Akhil yang sedang berteleku di tikar sembahyang sebaik sahaja matanya terarah ke bilik di sebelahnya. Menunaikan solat Asar barangkali.

Tak semena-mena Ariana tersenyum sendiri. Perasaan bersalah merajai hati. Rasa berdosa memfitnah suami yang baru dinikahi nya itu. Ke berlakon saja mamat ni? Astaghfirullahala’zim, lekas Ariana beristighfar. Dirinya sendiri pun belum menunaikan solat ada hati menyangka buruk terhadap orang lain. Suaminya sendiri pula tu. Walaupun tak rela,namun hukum tetap hukum beb!!. Berdosa melawan suami. Dengan perlahan dia menghayunkan langkah perlahan kembali ke kamarnya. Banyak benda yang perlu dibereskan lagi.

Isteri Gelapku - Bab 2 ©

“Assalamualaikum” lembut Akhil memberi salam sebaik saja sampai di salah sebuah bilik di Awana Kijal, Terengganu.

“Waalaikumsalam, Akhil ke tu, mari masuk ” suara garau yang menyahut dari dalam lantas menimbulkan perasaan tak keruan di hati Ariana. Sudah bertahun lamanya dia tidak mendengar suara itu.

“Mari Ariana kita masuk” pelawa Akhil sambil melangkah masuk.Ariana hanya menuruti. Pasrah.Walaupun agak gementar, namun mata Ariana sempat meliar melihat keadaan sekitarnya. Dia kagum dengan hiasan dalaman bilik mewah itu.

“ Ariana, cucuku”Pantas Ariana berpaling. Hatinya berdegup kencang dengan perasaan yang berbaur. Fikirannya masih terbayang wajah tua dihadapannya itu ketika dia menempik menghalau ibu dan dirinya keluar dari rumah.

“ Encik nak apa panggil saya ke mari?” Ariana cuba bersuara tenang walaupun hatinya bergetar.“Ariana? Dia kan datuk awak. kenapa awak panggil dia macam tu?” Akhil cuba membela Dato’ Sulaiman.Ariana hanya menjeling Akhil. Malas nak layan.

“Biarlah Akhil. dia nak ke mari dah cukup bagus. mari Ariana duduk sini. Tok nak bincang sikit dengan kamu.”Ariana mara dalam terpaksa. dia mengambil tempat di depan , manakala Akhil disebelah datuknya.

“Mak kamu tak ada cakap apa-apa Ariana berkenan tujuan Tok ke mari?”Ariana terpinga. mukanya penuh dengan persoalan.Dato’ Sulaiman tersenyum. dia tahu Ariana tidak tahu menahu tujuan kedatangannya hari itu.

“ Begini, Tok datang sini sebab nak bawa kamu sekeluarga pindah ke rumah Tok di KL. Tok nak bantu mak kamu mendapatkan rawatan yang sewajarnya.”

“ terima kasihlah banyak-banyak ya Encik. saya masih mampu tanggung keluarga saya sendiri.” Ariana berdegil.

“ Tok tahu kamu memerlukan hampir RM50,000 untuk pembedahan mak kamu. Macam mana kalau kamu ikut cadangan Tok dan Tok akan bantu carikan doktor yang terhandal dan terbaik untuk ibu kamu.Tok juga akan cari penderma buah pinggang yang sesuai untuknmak kamu.” Dato’ Sulaiman cuba melobi.

“saya tak faham lah Encik, bukankah 10 tahun lepas Encik beria-ia menghalau kami keluar dari rumah Encik. Kenapa sekarang beria-ia nak ajak kami balik semula.” Ariana tersenyum sinis.

“ Ariana? jaga bahasa awak!!” Akhil meninggi suara. Dato’ Sulaiman meredakan Akhil.

“kamu fikirlah baik-baik Ariana, sampai bila kamu nak kumpul duit sebanyak tu dengan hanya bekerja sebagai pelayan kedai makan? kamu tak kesian dengan adik kamu Aris jika terjadi apa-apa pada mak kamu? fikirkanlah.”

Tersentak Ariana . Apa yang dikatakan oleh datuknya itu ada benarnya. Nampaknya dia terpaksa mengalah demi adiknya itu.

“Baiklah, tapi kalau saya setuju apa balasannya. Saya kenal orang seperti Encik ni tak akan beri sesuatu jikalau tak ada balasannya.” Ariana tersenyum sinis lagi.

“ Betul. syaratnya, Tok nak awak nikah dengan Akhil.”

“Apa?”“What? No way Tok!!”Serentak Ariana dan Akhil bersuara. Mereka berpandangan sesama sendiri.

“Akhil kalau kamu nak dapatkan syer syarikat melebihi Akmal, kamu kena kahwin dengan Ariana, Tok akan tambahkan syer kamu hingga 80% terus menjadikan kamu pemegang syer terbesar dan kamu Ariana, kalau kamu nak Tok bantu mak kamu, kamu kena nikah dengan Akhil” tegas sekali Dato’ Sulaiman bersuara.

Ariana terdiam. Akhil juga turut terdiam. Agak lama mereka terdiam . Berfikir.

“Encik, beri saya masa untuk berbincang dengan Akhil sebentar boleh?”Ariana sedar dia terpaksa menerima keputusan datuknya itu demi adik dan juga ibunya.

Gaji sebagai pembantu kedai makan bukan lah seberapa. Dia sendiri tidak pasti berapa tahun lagi dia harus menyimpan, barulah simpanannya mencukupi untuk membantu ibunya. Namun, dia harus merancang sesuatu untuk kepentingan dirinya.Dato’ Sulaiman hanya menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Ariana mengisyaratkan supaya Akhil mengikutnya.Akhil hanya menurut.

“Akhil, saya memang tak nak nikah dengan awak,saya bukan kenal awak pun, tapi saya terpaksa. Awak kena tolong saya.” rayu Ariana sebaik sahaja tiba di luar pintu bilik.

“Awak ingat saya terhegeh-hegeh sangat ke nak nikah dengan awak?” perli Akhil

“Saya pun bukannya nak sangat kat awak tu, tapi saya terfikirkan kebajikan adik saya dan ibu saya.dan kalau tak silap saya awak pun memang teringin sangat harta Dato’ Sulaiman tu kan?” sinis Ariana bersuara.Akhil terkesima. dia tertunggu-tunggu kata-kata yang bakal diluahkan oleh Ariana.

“Kita ikut cakap dia tapi sehingga ibu saya pulih, lepas tu kita bercerai. awak dapat harta datuk saya, saya dapat kebebasan saya, dan saya nak kita rahsiakan perkahwinan kita ni termasuk dari pengetahuan ibu saya.”

Walaupun agak terkejut dengan cadangan Ariana, namun Akhil sedar dia tiada pilihan lain. Dia mengangguk kepalanya perlahan tanda bersetuju.

“saya tak kisah asalkan saya dapat syer lebih dari si Akmal tu”

“Siapa Akmal?”

“Anak Pak Long awak. Kiranya sepupu awak lah tu.”

“Saya tak sangka awak ni materialistik kan. Muka je nampak baik tapi sanggup awak minta harta dari orang yang bukan darah daging awak .”

“Dah lama saya tunggu. terima kasih banyak kat awak. sekurang-kurangnya awak batu loncatan saya nak kikis harta datuk awak.” selamba Akhil menjawab sambil berlalu masuk ke dalam bilik Dato’ Sulaiman.

Ariana mendengus , mengatur langkah berat mengekor Akhil.

“Tok kami bersetuju untuk bernikah tapi Ariana ada syarat, dia tak nak orang tahu kami ni dah bernikah termasuk ibunya sendiri.” luah Akhil sebaik sahaja sampai di dalam bilik.

“Baiklah, Tok setuju. Malam ni kamu berdua nikah, esok malam kita balik KL”Ariana dan Akhil hanyak mengangguk perlahan. Pasrah.

Tuesday, April 13, 2010

Isteri Gelapku - Bab 1 ©

“Ariana saya minta maaf. Saya tak tahu nak awak bagaimana harus saya terangkan. Saya minta maaf sangat-sangat. Saya terpaksa putuskan hubungan kita”
Ariana terpana. Fikirannya bingung.
“Kenapa ni Faizal? Apa salah saya hingga awak sanggup buat keputusan ni?“ Ariana mendesak. Matanya sudah mula berair. Sebak.
“Saya minta maaf sangat-sangat Ariana, saya tak boleh teruskan. Saya kena tumpukan perhatian saya pada perniagaan saya. Awak pun tahu saya baru memulakan perniagaan saya. Jadi,saya tak nak terlibat dengan apa-apa komitmen selagi saya tak berjaya. Jika jodoh kita panjang , kita pasti bersama kembali” lancar sekali Faizal menuturkan alasan.
“Tak boleh ke kita pertahankan hubungan kita ni. Kalau awak nak fokus pada perniagaan awak teruskanlah. Saya takkan ganggu awak. Saya akan tunggu hingga awak stabil.” Ariana merayu.
Faizal tak boleh meninggalkan dirinya begitu sahaja. Setelah apa yang mereka lalui.
Ariana merenung wajah Faizal yang sedang menggelengkan kepala. Faizal kelihatan nekad sekali dengan keputusannya. Entah apa yang merasuk fikiran Faizal sehingga dia sanggup bertekad sedemikian.
“Sampai hati awak Faizal. Kalau itulah alasan awak, saya terima dengan redha. Semoga awak berjaya. Tapi jangan awak jilat balik ludah awak Faizal. Walaupun saya sayangkan awak..Saya tak akan dan tak mungkin menerima kembali orang yang pentingkan diri sendiri macam awak ni. Cincin pertunangan ni awak ambil balik, saya tak ingin pakai pemberian orang hipokrit macam awak..Awak boleh balik Faizal. Saya tak nak tengok muka awak lagi.” Ariana memalingkan mukanya. Tak sanggup melihat wajah yang tak berhati perut itu. Air matanya mengalir deras. Luluh hatinya.
Faizal mengambil cincin yang dihulurkan Ariana dan terus berlalu pergi.
Hati Ariana berkecamuk. Kalau diikutkan hatinya terasa bagai nak melaung sekuat hati agar segala yang terbuku di hatinya terlepas. Faizal dilhatnya begitu nekad dengan keputusannya.Kelibat Faizal semakin menghilang , yang berlalu tanpa menoleh, dihantarnya dengan pandangan yang kabur. Kabur dengan air mata. .Dia menangis sepuas-puasnya. Sungguh dia tak sangka setelah 2 tahun menjalin kasih, tali pertunangan juga telah diikat, Faizal tergamak berbuat sedemikian. Sanggup meninggalkannya demi memilih cita-cita.
Terasa amat murah harga dirinya ketika itu. Diharapnya Faizal merupakan lelaki yang mampu untuk membimbingnya dan juga membela keluargannya. Namun semua harapannya musnah. Hingga saat ini, Ariana masih tak dapat menerima kenyataan bahawa Faizal meninggalkannya demi sebab yang bodoh. Sangat bodoh!! Puas dia merayu tapi Faizal memang sudah nekad dengan keputusannya. Ya Allah Ya Tuhanku! Bantulah hamba-Mu ini menempuh dugaan ini Ya Allah. Aku redha jika dia bukan jodohku, Kau kuatkanlah hatiku ini Ya Allah.
“Erm..maafkan saya, Ariana..” Terkejut Ariana ketika suara seorang lelaki menyapa dari sisinya. Pantas dia menyeka air matanya. Segan.
“Awak siapa?” Ariana mengalihkan pandangannya ke arah lelaki itu.Suaranya masih serak akibat menangis.Terkebil-kebil matanya memandang lelaki yang berpakaian sut serba hitam di hadapannya itu.
“Takziah untuk awak” Dengan selamba sekali lelaki itu bersuara.
Ariana tercengang. Mukanya kemerahan menahan perasaan yang berbaur.
“Dah berapa lama awak mengendap saya tadi hah? Tak malu ke? Dah lah datang rumah orang tak bagi salam. Main terjah je, lepas tu pandai-pandai mengendap orang.” berang betul Ariana dengan lelaki itu.
Lelaki itu tertawa dengan telatah Ariana yang sedang naik angin.
“Saya tak terniat pun nak mengendap awak tapi, dah awak berdrama swasta di depan rumah ni, saya tengok sajalah.Oh ya, mak awak ada Ariana?”
“Dah lah mengendap orang, lepas tu nak cari mak orang pula. Apa hal awak nak cari mak saya? saya tak kenal awak pun, dan saya rasa mak saya tak kenal awak pun, jadi awak pun silalah balik . Tak payah nak menyemak kat sini.” Ariana masih lagi berang dengan sikap lelaki di hadapannya itu. Dahlah hatinya sedang panas angkara Faizal, lelaki di hadapannya kini pula ibarat mencurah minyak ke atas api. Makin marak kemarahannya menyala.
“Amboi garangnya anak Pak Zubir ni.” Ngomel lelaki itu.
“Hah, siap tahu nama arwah ayah lagi. Awak ni siapa hah?” Ariana mula meninggi suara.
“Apa bising-bising ni Ari?” kedengaran suara ibunya melaung dari atas rumah.
“Ni mak , ada orang gila nak jumpa mak. Gaya macam orang baru keluar dari hospital sakit jiwa lagaknya mak.” Laung Ariana kembali. Puas hatinya dapat mengenakan lelaki di hadapannya itu.
“Akhil ke tu? Masuklah. Dah lama makcik tunggu kamu.” kelihatan ibunya tersenyum manis kepada lelaki di depannya .
Lelaki yang bernama Akhil itu hanya mengenyitkan matanya ke arah Ariana tanda kemenangan.
Akhil? tak pernah pun mak sebut nama lelaki ni’ Ariana tertanya-tanya dalam hati. Terlupa sebentar dengan kemarahannya sebentar tadi.Dia mengekor Akhil masuk ke dalam rumah dengan perasaan yang berbaur.
“Ari, tolong buatkan air untuk si Akhil ni sayang, dari jauh dia datang ni” lembut suara ibunya meminta.
Ariana menyumpah-nyumpah di dalam hati. Dia masih tidak puas hati dengan lelaki yang bernama Akhil itu. Tapi, demi ibunya dia terpaksa memendam rasa. Dia perlu menjaga hati ibunya yang sedang sakit . Tidak mahu hati ibunya terluka.
Faizal... tiba-tiba hatinya terdetik. Fikirannya kembali berserabut. Sedih.Matanya berair kembali.
Selesai membancuh air, Ariana menatang dulang kembali ke ruang tamu, di mana ibunya dan lelaki yang bernama Akhil itu sedang berbual rancak.
“Jemputlah minum Akhil. Ni saja yang makcik mampu hidangkan untuk kamu Akhil. Kamu tengok sahajalah keadaan makcik ni. Sakit. Dah banyak sangat menyusahkan Ari. Nak harapkan gaji dia bekerja di kedai makan depan tu, berapalah sangat. Ini pun untung Mak Jah, si tuan kedai tu bagi kami menumpang di pondok buruk ni.”
“Alhamdulillah makcik, air ni pun dah lebih dari cukup. Mana Aris makcik?”
“Dia ke sekolah. Lagipun hari ni kan hari terakhir sekolah sebelum cuti semester. Banyak agaknya pesanan cikgu di sekolah tu sempena cuti sekolah ni.Sekejap lagi balik lah tu”
Ariana bingung. Siapa gerangan lelaki yang bernama Akhil ni? kenapa begitu banyak perkara berkaitan keluarganya dia tahu.
“ Ariana, mari mak kenalkan. Ini Akhil cucu angkat datuk kamu. Akhil ni Ariana anak makcik, sepupu kamu.”
“Mak, bila masa Ari ada datuk..” Ariana tiba-tiba berang mendengar nama datuknya diungkit.
Setahunya jika betul datuk yang dimaksudkan ibunya itu, lelaki itulah yang juga penyebab keluarganya susah sebegitu. Masih segar di ingatannya, ketika umurnya 12 tahun, dia dan ibunya dihalau keluar bagaikan binatang dari banglo yang tersergam indah di bandaraya KL itu. Meranduk hujan lebat di tengah kepekatan malam.
“Ari. Datuk kamu ada di pekan ni. Dia menginap di Awana Kijal Resort sekarang ni. Dia ingin berjumpa dengan kamu nak.” lembut suara ibunya memujuk.
“Mak,apa ni? Mak tak ada cakap apa-apa pun dengan Ari. Kenapa ni mak?” Ariana membentak.. “Akhil, kamu tunggu di luar sebentar ya. Makcik nak berbincang dengan anak dara makcik ni sebentar. Tunggu ya!”
Akhil hanya mengangguk kepala sambil berlalu ke anjung rumah.
“ Mak, kenapa ni? macam mana mak boleh terlibat dengan orang tua tu lagi? Mak tak ingat ke apa yang dia dah buat pada kita dulu?” Ariana cuba mengawal kemarahannya.
“ Ari, maafkan mak. sebenarnya sebaik saja mak dapat tahu penyakit mak bertambah teruk dan tiada harapan lagi, mak terus sahaja utus surat kepada datuk kamu. Mak harap dia dapat menjaga kamu dan Aris bila mak dah tiada nanti.” Azizah cuba menyejukkan hati anaknya itu.
“ Jangan cakap macam ni mak. Tolong jangan sebut pasal kematian ni mak boleh tak? Ari akan cari wang perubatan mak tu. Ari pun boleh jaga Aris, sementara mak nak pulih nanti. Tapi mak tolonglah jangan hubungi orang tua tu lagi. Tak cukupkah dengan apa yang dia dah buat pada mak dulu? Pada kita sekeluarga dulu mak?”
Di kala itu dia terimbas kenangan pahit 15 tahun lalu ketika ibu dan dirinya dihalau oleh datuknya. Masih dia teringat betapa kejamnya orang tua itu memfitnah ibunya berzina dengan tukang kebun rumah itu sedangkan semua itu dirancangnya sendiri. Betapa kecewanya dia melihat ayahnya juga turut mempercayai kata-kata datuknya itu. Dengan perasaan yang kecewa itu ibunya pergi membawa diri ke Timur Semenanjung tempat kelahirannya.
“Ari, demi mak, kamu pergi jumpa datuk kamu tu ya. Ari mak tak pernah mendidik anak-anak mak jadi orang yang pendendam. Mak tak nak Ari begitu ya sayang. Sedang Nabi ampunkan umatnya Ari. Ari pergi ya?” ibunya cuba memujuk.
Ariana masih terdiam. Berat hatinya untuk menjawab. Untuk menjawab tidak ,takut hati ibunya akan kecewa.
“Ari??” Azizah memanggil lagi.Dia tahu hati anaknya itu belum dapat menerima situasi seperti ini. Dia juga tahu marah Ariana terhadap datuknya masih belum pudar.
“Baiklah mak, kalau itu yang mak nak. Ari akan ikut .” luah Ariana perlahan.
Hatinya berbaur, namun terlintas juga di hatinya, sedangkan ibunya sanggup melupakan perbuatan datuknya itu apatah lagi dirinya yang tiada kaitan dengan permasalahan itu, walaupun marah masih ada.
“Jom Ariana?” Akhil yang tiba-tiba masuk, bersuara seperti tahu perbincangan Ariana dan ibunya sudah selesai.