Wednesday, April 14, 2010

Isteri Gelapku - Bab 3 ©

Segalanya berlalu dengan pantas.Pernikahan Ariana dan Akhil berjalan lancar 14 hari selepas pertemuan Ariana dengan Dato’ Sulaiman di Awana Kijal Resort. Pernikahan mereka terpaksa ditangguhkan demi menguruskan hal pendaftaran pernikahan dan juga perpindahan Ariana sekeluarga ke Kuala Lumpur. Juga menguruskan perpindahan sekolah adik lelakinya, Aris ke sekolah yang berdekatan rumah Dato’ Sulaiman di Kuala Lumpur. Kebetulan cuti sekolah baru bermula minggu lepas.

Walau hanya disaksikan Tok Kadi, Dato’ Sulaiman dan dua saksi dari pihak lelaki, hati Ariana sudah cukup puas. Perasaan bersalah terhadap ibunya menjalar ke lubuk hatinya sepanjang upacara pernikahannya itu. Rasa bersalah sebenarnya kerana tidak memberitahu hal yang sebenar kepada ibunya. Harap-harap ibunya memahami situasinya. Dia berjanji dengan dirinya, dia akan menerangkan hal yang sebenarnya sebaik sahaja ibunya selesai pembedahan nanti. Apabila tubuh ibunya cukup sihat untuk menerima berita pernikahannya itu. Kemungkinan besar ibunya akan mendengar berita penceraiannya sekaligus sebagaimana perjanjian mulutnya dengan Akhil 2 minggu lalu.


Bergetar jiwa Ariana sebaik sahaja Akhil melafazkan akad nikah dengan penuh keyakinan dan dengan hanya sekali lafaz sahaja, mereka sah sebagai suami isteri.

Tangan Akhil dikucup dalam keterpaksaan, masih terasa lagi kehangatan kucupan Akhil di dahinya. Namun,semua itu hanya lakonan demi memuaskan hati Dato’ Sulaiman dan saksi yang hadir. Tak sangka Akhil juga pandai memainkan peranan. Mungkin jumlah habuan yang diterima begitu lumayan,hingga sanggup menerima apa sahaja yang dipinta Dato’ Sulaiman. Meluatnya!!!!

Namun, dirinya juga terasa bodoh. Bulat-bulat dia menerima usul dato’ Sulaiman. Akhirnya, setelah ditapis dan disaring, Ariana menganggap tiada salahnya jika menerima usulan tersebut. Semuanya demi kesihatan ibunya dan masa depan adiknya. Hanya mereka yang dia ada ketika ini.

Hanya Tuhan yang tahu betapa sebak hatinya ketika upacara pernikahan itu. Terpaksa menikahi lelaki yang tak dikenali. Lelaki yang materialistik.Tamakkan harta. Terbayang wajah Akhil yang tenang ketika perjalanan dari masjid ke rumahnya. Bagai tiada apa yang berlaku. Hipokrit. Hanya sepi menemani mereka sepanjang perjalanan pulang. Ariana mengeluh panjang mengenangkan episod malang yang bakal menimpa dirinya dalam beberapa bulan akan datang.

Kini, Ariana sungguh tidak menyangka dia akan menjejakkan kakinya ke rumah agam itu sekali lagi. Rumah yang pernah menghancurkan hati ibunya. Masih segar memorinya bagai baru semalam peristiwa itu berlaku.

Dia dan ibunya dihalau oleh ayahnya dan Dato’ Sulaiman. Ketika itu ibunya sedang sarat mengandungkan adiknya, Aris. Sayu hatinya mengenangkan Aris yang tidak pernah bertemu dengan ayah kandungnya sendiri. Ayah yang menidakkan kehadirannya di dunia ini. Ayah yang juga meninggal dunia seminggu selepas dia dan ibunya dihalau dengan kejam. Meninggal akibat kemalangan jalan raya.

Mereka hanya mendapat perkhabaran itu sesudah jenazah ayahnya itu selamat dikebumikan. Wajah ibunya di saat itu sangat memilukan. Dia sedar ibunya telah memaafkan dosa ayahnya dan sesungguhnya inilah kelebihan ibunya,mempunyai hati yang mulia. Tiada hasad dengki. Pemaaf. Sifat inilah yang dipupuk oleh ibunya terhadap dirinya dan adiknya sejak kecil.
Namun,kenapa hatinya masih tak dapat memaafkan atas semua yang berlaku?

Mujur Dato’ Sulaiman mempunyai hal penting di luar. Dia tak dapat menahan sakit hatinya ketika melihat muka bengis lelaki tua itu. Dari tibanya Dato’ Sulaiman di kampungnya, hatinya masih lagi tertanya-tanya akan kejujuran lelaki tua itu. Entah cerita apa yang direkanya hingga ibunya mempercayai terus. Mungkin bermodalkan air mata dan air liur kot!! Seperti kebiasaan, itulah juga kelemahan ibunya. Aduhai Ariana, sudah-sudahlah dengan mengelamun tu. Ariana tersenyum sendiri. Baru teringat sebenarnya.Bukankah ibunya yang mengirim surat kepada Dato’ Sulaiman memberitahu tentang keadaan mereka. Pastilah ibunya yang memulakan dulu. Alahai,tak pasal-pasal dapat dosa kering aku hari ni.

Dia menjeling kelibat Akhil yang menjinjing beg pakaiannya ke tingkat atas. Menyedari mata Akhil mengisyaratkan supaya menuruti langkahnya, Ariana hanya menganggukkan kepalanya perlahan.

Sekilas dia memandang ibunya yang baru lena di dalam bilik di hadapannya.

“Mak, Ari rela berkorban demi mak.Harap mak cepat sembuh” Sayu Ariana memandang ibunya yang lemah itu. Dengan perlahan dia melangkah mendaki tangga .

“Ariana,mari” Akhil menggamitnya sebaik sahaja dirinya tiba di tingkat atas. Ariana hanya menurut ,mengekori Akhil masuk ke dalam bilik yang luas itu.

“Ni bilik kita. Awak susun lah pakaian awak dalam almari tu sebelah pakaian saya. Ada apa-apa awak cari saya di bilik depan tu ya”


“Saya tidur dengan mak saya lah. Awak tak payah kisah hal saya. Awak buat hal awak saja ya”Ariana membuang pandangan nya ke luar tingkap. Malas hendak memandang wajah hipokrit di hadapannya itu.


“Ariana,kita suami isteri yang sah.Tak ada salahnya kita sebilik.Lagipun ni kehendak Tok. Awak tak boleh menolak.” Akhil pantas berlalu. Malas mahu memanjangkan keadaan.

Ariana mengomel sendirian. Hatinya berang. Berang dengan nasibnya yang tak ketahuan. Nasib baik ibunya masih lemah, tak larat mendaki tangga. Aris pula masih di kampung bersama Mak Jah, jiran yang amat dipercayai, menghabiskan cuti sekolah sebelum memulakan penggal baru di sekolah baru. Kalau tak, pasti kecoh dibuatnya. Dalam keterpaksaan dia menyusun pakaiannya ke dalam almari.

Apa mamat ni buat kat dalam bilik tu ? Kerja ke? Ke tengah bergayut dengan teman wanita? tiiba-tiba hatinya meronta-ronta ingin mengetahui. Sudah lebih 30 minit Akhil menghilang. Perlahan dia bangkit dan menghayunkan langkahnye ke bilik di hadapan.

Mengamati ruang yang luas. Terimbas kenangan zaman kanak-kanaknya. Dia hanya boleh bermain bersama anak orang gaji di rumah itu. Terpandang di satu sudut di mana dia pernah dimarahi Dato’ Sulaiman kerana cuai hingga terlanggar Akmal, sepupunya kerana sibuk bermain kejar-kejar bersama anak orang gaji di rumah ketika itu. Apalah dosanya hingga dia dibelasah teruk oleh orang tua itu sedangkan Akmal tiada apa-apa langsung. Banyak lagi kenangan pahitnya ketika di rumah itu dahulu. Malas untuk melayan perasaan sedihnya jika diimbas kembali kenangan-kenangan itu.

Alangkah terkejutnya dia melihat Akhil yang sedang berteleku di tikar sembahyang sebaik sahaja matanya terarah ke bilik di sebelahnya. Menunaikan solat Asar barangkali.

Tak semena-mena Ariana tersenyum sendiri. Perasaan bersalah merajai hati. Rasa berdosa memfitnah suami yang baru dinikahi nya itu. Ke berlakon saja mamat ni? Astaghfirullahala’zim, lekas Ariana beristighfar. Dirinya sendiri pun belum menunaikan solat ada hati menyangka buruk terhadap orang lain. Suaminya sendiri pula tu. Walaupun tak rela,namun hukum tetap hukum beb!!. Berdosa melawan suami. Dengan perlahan dia menghayunkan langkah perlahan kembali ke kamarnya. Banyak benda yang perlu dibereskan lagi.

Isteri Gelapku - Bab 2 ©

“Assalamualaikum” lembut Akhil memberi salam sebaik saja sampai di salah sebuah bilik di Awana Kijal, Terengganu.

“Waalaikumsalam, Akhil ke tu, mari masuk ” suara garau yang menyahut dari dalam lantas menimbulkan perasaan tak keruan di hati Ariana. Sudah bertahun lamanya dia tidak mendengar suara itu.

“Mari Ariana kita masuk” pelawa Akhil sambil melangkah masuk.Ariana hanya menuruti. Pasrah.Walaupun agak gementar, namun mata Ariana sempat meliar melihat keadaan sekitarnya. Dia kagum dengan hiasan dalaman bilik mewah itu.

“ Ariana, cucuku”Pantas Ariana berpaling. Hatinya berdegup kencang dengan perasaan yang berbaur. Fikirannya masih terbayang wajah tua dihadapannya itu ketika dia menempik menghalau ibu dan dirinya keluar dari rumah.

“ Encik nak apa panggil saya ke mari?” Ariana cuba bersuara tenang walaupun hatinya bergetar.“Ariana? Dia kan datuk awak. kenapa awak panggil dia macam tu?” Akhil cuba membela Dato’ Sulaiman.Ariana hanya menjeling Akhil. Malas nak layan.

“Biarlah Akhil. dia nak ke mari dah cukup bagus. mari Ariana duduk sini. Tok nak bincang sikit dengan kamu.”Ariana mara dalam terpaksa. dia mengambil tempat di depan , manakala Akhil disebelah datuknya.

“Mak kamu tak ada cakap apa-apa Ariana berkenan tujuan Tok ke mari?”Ariana terpinga. mukanya penuh dengan persoalan.Dato’ Sulaiman tersenyum. dia tahu Ariana tidak tahu menahu tujuan kedatangannya hari itu.

“ Begini, Tok datang sini sebab nak bawa kamu sekeluarga pindah ke rumah Tok di KL. Tok nak bantu mak kamu mendapatkan rawatan yang sewajarnya.”

“ terima kasihlah banyak-banyak ya Encik. saya masih mampu tanggung keluarga saya sendiri.” Ariana berdegil.

“ Tok tahu kamu memerlukan hampir RM50,000 untuk pembedahan mak kamu. Macam mana kalau kamu ikut cadangan Tok dan Tok akan bantu carikan doktor yang terhandal dan terbaik untuk ibu kamu.Tok juga akan cari penderma buah pinggang yang sesuai untuknmak kamu.” Dato’ Sulaiman cuba melobi.

“saya tak faham lah Encik, bukankah 10 tahun lepas Encik beria-ia menghalau kami keluar dari rumah Encik. Kenapa sekarang beria-ia nak ajak kami balik semula.” Ariana tersenyum sinis.

“ Ariana? jaga bahasa awak!!” Akhil meninggi suara. Dato’ Sulaiman meredakan Akhil.

“kamu fikirlah baik-baik Ariana, sampai bila kamu nak kumpul duit sebanyak tu dengan hanya bekerja sebagai pelayan kedai makan? kamu tak kesian dengan adik kamu Aris jika terjadi apa-apa pada mak kamu? fikirkanlah.”

Tersentak Ariana . Apa yang dikatakan oleh datuknya itu ada benarnya. Nampaknya dia terpaksa mengalah demi adiknya itu.

“Baiklah, tapi kalau saya setuju apa balasannya. Saya kenal orang seperti Encik ni tak akan beri sesuatu jikalau tak ada balasannya.” Ariana tersenyum sinis lagi.

“ Betul. syaratnya, Tok nak awak nikah dengan Akhil.”

“Apa?”“What? No way Tok!!”Serentak Ariana dan Akhil bersuara. Mereka berpandangan sesama sendiri.

“Akhil kalau kamu nak dapatkan syer syarikat melebihi Akmal, kamu kena kahwin dengan Ariana, Tok akan tambahkan syer kamu hingga 80% terus menjadikan kamu pemegang syer terbesar dan kamu Ariana, kalau kamu nak Tok bantu mak kamu, kamu kena nikah dengan Akhil” tegas sekali Dato’ Sulaiman bersuara.

Ariana terdiam. Akhil juga turut terdiam. Agak lama mereka terdiam . Berfikir.

“Encik, beri saya masa untuk berbincang dengan Akhil sebentar boleh?”Ariana sedar dia terpaksa menerima keputusan datuknya itu demi adik dan juga ibunya.

Gaji sebagai pembantu kedai makan bukan lah seberapa. Dia sendiri tidak pasti berapa tahun lagi dia harus menyimpan, barulah simpanannya mencukupi untuk membantu ibunya. Namun, dia harus merancang sesuatu untuk kepentingan dirinya.Dato’ Sulaiman hanya menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Ariana mengisyaratkan supaya Akhil mengikutnya.Akhil hanya menurut.

“Akhil, saya memang tak nak nikah dengan awak,saya bukan kenal awak pun, tapi saya terpaksa. Awak kena tolong saya.” rayu Ariana sebaik sahaja tiba di luar pintu bilik.

“Awak ingat saya terhegeh-hegeh sangat ke nak nikah dengan awak?” perli Akhil

“Saya pun bukannya nak sangat kat awak tu, tapi saya terfikirkan kebajikan adik saya dan ibu saya.dan kalau tak silap saya awak pun memang teringin sangat harta Dato’ Sulaiman tu kan?” sinis Ariana bersuara.Akhil terkesima. dia tertunggu-tunggu kata-kata yang bakal diluahkan oleh Ariana.

“Kita ikut cakap dia tapi sehingga ibu saya pulih, lepas tu kita bercerai. awak dapat harta datuk saya, saya dapat kebebasan saya, dan saya nak kita rahsiakan perkahwinan kita ni termasuk dari pengetahuan ibu saya.”

Walaupun agak terkejut dengan cadangan Ariana, namun Akhil sedar dia tiada pilihan lain. Dia mengangguk kepalanya perlahan tanda bersetuju.

“saya tak kisah asalkan saya dapat syer lebih dari si Akmal tu”

“Siapa Akmal?”

“Anak Pak Long awak. Kiranya sepupu awak lah tu.”

“Saya tak sangka awak ni materialistik kan. Muka je nampak baik tapi sanggup awak minta harta dari orang yang bukan darah daging awak .”

“Dah lama saya tunggu. terima kasih banyak kat awak. sekurang-kurangnya awak batu loncatan saya nak kikis harta datuk awak.” selamba Akhil menjawab sambil berlalu masuk ke dalam bilik Dato’ Sulaiman.

Ariana mendengus , mengatur langkah berat mengekor Akhil.

“Tok kami bersetuju untuk bernikah tapi Ariana ada syarat, dia tak nak orang tahu kami ni dah bernikah termasuk ibunya sendiri.” luah Akhil sebaik sahaja sampai di dalam bilik.

“Baiklah, Tok setuju. Malam ni kamu berdua nikah, esok malam kita balik KL”Ariana dan Akhil hanyak mengangguk perlahan. Pasrah.

Tuesday, April 13, 2010

Isteri Gelapku - Bab 1 ©

“Ariana saya minta maaf. Saya tak tahu nak awak bagaimana harus saya terangkan. Saya minta maaf sangat-sangat. Saya terpaksa putuskan hubungan kita”
Ariana terpana. Fikirannya bingung.
“Kenapa ni Faizal? Apa salah saya hingga awak sanggup buat keputusan ni?“ Ariana mendesak. Matanya sudah mula berair. Sebak.
“Saya minta maaf sangat-sangat Ariana, saya tak boleh teruskan. Saya kena tumpukan perhatian saya pada perniagaan saya. Awak pun tahu saya baru memulakan perniagaan saya. Jadi,saya tak nak terlibat dengan apa-apa komitmen selagi saya tak berjaya. Jika jodoh kita panjang , kita pasti bersama kembali” lancar sekali Faizal menuturkan alasan.
“Tak boleh ke kita pertahankan hubungan kita ni. Kalau awak nak fokus pada perniagaan awak teruskanlah. Saya takkan ganggu awak. Saya akan tunggu hingga awak stabil.” Ariana merayu.
Faizal tak boleh meninggalkan dirinya begitu sahaja. Setelah apa yang mereka lalui.
Ariana merenung wajah Faizal yang sedang menggelengkan kepala. Faizal kelihatan nekad sekali dengan keputusannya. Entah apa yang merasuk fikiran Faizal sehingga dia sanggup bertekad sedemikian.
“Sampai hati awak Faizal. Kalau itulah alasan awak, saya terima dengan redha. Semoga awak berjaya. Tapi jangan awak jilat balik ludah awak Faizal. Walaupun saya sayangkan awak..Saya tak akan dan tak mungkin menerima kembali orang yang pentingkan diri sendiri macam awak ni. Cincin pertunangan ni awak ambil balik, saya tak ingin pakai pemberian orang hipokrit macam awak..Awak boleh balik Faizal. Saya tak nak tengok muka awak lagi.” Ariana memalingkan mukanya. Tak sanggup melihat wajah yang tak berhati perut itu. Air matanya mengalir deras. Luluh hatinya.
Faizal mengambil cincin yang dihulurkan Ariana dan terus berlalu pergi.
Hati Ariana berkecamuk. Kalau diikutkan hatinya terasa bagai nak melaung sekuat hati agar segala yang terbuku di hatinya terlepas. Faizal dilhatnya begitu nekad dengan keputusannya.Kelibat Faizal semakin menghilang , yang berlalu tanpa menoleh, dihantarnya dengan pandangan yang kabur. Kabur dengan air mata. .Dia menangis sepuas-puasnya. Sungguh dia tak sangka setelah 2 tahun menjalin kasih, tali pertunangan juga telah diikat, Faizal tergamak berbuat sedemikian. Sanggup meninggalkannya demi memilih cita-cita.
Terasa amat murah harga dirinya ketika itu. Diharapnya Faizal merupakan lelaki yang mampu untuk membimbingnya dan juga membela keluargannya. Namun semua harapannya musnah. Hingga saat ini, Ariana masih tak dapat menerima kenyataan bahawa Faizal meninggalkannya demi sebab yang bodoh. Sangat bodoh!! Puas dia merayu tapi Faizal memang sudah nekad dengan keputusannya. Ya Allah Ya Tuhanku! Bantulah hamba-Mu ini menempuh dugaan ini Ya Allah. Aku redha jika dia bukan jodohku, Kau kuatkanlah hatiku ini Ya Allah.
“Erm..maafkan saya, Ariana..” Terkejut Ariana ketika suara seorang lelaki menyapa dari sisinya. Pantas dia menyeka air matanya. Segan.
“Awak siapa?” Ariana mengalihkan pandangannya ke arah lelaki itu.Suaranya masih serak akibat menangis.Terkebil-kebil matanya memandang lelaki yang berpakaian sut serba hitam di hadapannya itu.
“Takziah untuk awak” Dengan selamba sekali lelaki itu bersuara.
Ariana tercengang. Mukanya kemerahan menahan perasaan yang berbaur.
“Dah berapa lama awak mengendap saya tadi hah? Tak malu ke? Dah lah datang rumah orang tak bagi salam. Main terjah je, lepas tu pandai-pandai mengendap orang.” berang betul Ariana dengan lelaki itu.
Lelaki itu tertawa dengan telatah Ariana yang sedang naik angin.
“Saya tak terniat pun nak mengendap awak tapi, dah awak berdrama swasta di depan rumah ni, saya tengok sajalah.Oh ya, mak awak ada Ariana?”
“Dah lah mengendap orang, lepas tu nak cari mak orang pula. Apa hal awak nak cari mak saya? saya tak kenal awak pun, dan saya rasa mak saya tak kenal awak pun, jadi awak pun silalah balik . Tak payah nak menyemak kat sini.” Ariana masih lagi berang dengan sikap lelaki di hadapannya itu. Dahlah hatinya sedang panas angkara Faizal, lelaki di hadapannya kini pula ibarat mencurah minyak ke atas api. Makin marak kemarahannya menyala.
“Amboi garangnya anak Pak Zubir ni.” Ngomel lelaki itu.
“Hah, siap tahu nama arwah ayah lagi. Awak ni siapa hah?” Ariana mula meninggi suara.
“Apa bising-bising ni Ari?” kedengaran suara ibunya melaung dari atas rumah.
“Ni mak , ada orang gila nak jumpa mak. Gaya macam orang baru keluar dari hospital sakit jiwa lagaknya mak.” Laung Ariana kembali. Puas hatinya dapat mengenakan lelaki di hadapannya itu.
“Akhil ke tu? Masuklah. Dah lama makcik tunggu kamu.” kelihatan ibunya tersenyum manis kepada lelaki di depannya .
Lelaki yang bernama Akhil itu hanya mengenyitkan matanya ke arah Ariana tanda kemenangan.
Akhil? tak pernah pun mak sebut nama lelaki ni’ Ariana tertanya-tanya dalam hati. Terlupa sebentar dengan kemarahannya sebentar tadi.Dia mengekor Akhil masuk ke dalam rumah dengan perasaan yang berbaur.
“Ari, tolong buatkan air untuk si Akhil ni sayang, dari jauh dia datang ni” lembut suara ibunya meminta.
Ariana menyumpah-nyumpah di dalam hati. Dia masih tidak puas hati dengan lelaki yang bernama Akhil itu. Tapi, demi ibunya dia terpaksa memendam rasa. Dia perlu menjaga hati ibunya yang sedang sakit . Tidak mahu hati ibunya terluka.
Faizal... tiba-tiba hatinya terdetik. Fikirannya kembali berserabut. Sedih.Matanya berair kembali.
Selesai membancuh air, Ariana menatang dulang kembali ke ruang tamu, di mana ibunya dan lelaki yang bernama Akhil itu sedang berbual rancak.
“Jemputlah minum Akhil. Ni saja yang makcik mampu hidangkan untuk kamu Akhil. Kamu tengok sahajalah keadaan makcik ni. Sakit. Dah banyak sangat menyusahkan Ari. Nak harapkan gaji dia bekerja di kedai makan depan tu, berapalah sangat. Ini pun untung Mak Jah, si tuan kedai tu bagi kami menumpang di pondok buruk ni.”
“Alhamdulillah makcik, air ni pun dah lebih dari cukup. Mana Aris makcik?”
“Dia ke sekolah. Lagipun hari ni kan hari terakhir sekolah sebelum cuti semester. Banyak agaknya pesanan cikgu di sekolah tu sempena cuti sekolah ni.Sekejap lagi balik lah tu”
Ariana bingung. Siapa gerangan lelaki yang bernama Akhil ni? kenapa begitu banyak perkara berkaitan keluarganya dia tahu.
“ Ariana, mari mak kenalkan. Ini Akhil cucu angkat datuk kamu. Akhil ni Ariana anak makcik, sepupu kamu.”
“Mak, bila masa Ari ada datuk..” Ariana tiba-tiba berang mendengar nama datuknya diungkit.
Setahunya jika betul datuk yang dimaksudkan ibunya itu, lelaki itulah yang juga penyebab keluarganya susah sebegitu. Masih segar di ingatannya, ketika umurnya 12 tahun, dia dan ibunya dihalau keluar bagaikan binatang dari banglo yang tersergam indah di bandaraya KL itu. Meranduk hujan lebat di tengah kepekatan malam.
“Ari. Datuk kamu ada di pekan ni. Dia menginap di Awana Kijal Resort sekarang ni. Dia ingin berjumpa dengan kamu nak.” lembut suara ibunya memujuk.
“Mak,apa ni? Mak tak ada cakap apa-apa pun dengan Ari. Kenapa ni mak?” Ariana membentak.. “Akhil, kamu tunggu di luar sebentar ya. Makcik nak berbincang dengan anak dara makcik ni sebentar. Tunggu ya!”
Akhil hanya mengangguk kepala sambil berlalu ke anjung rumah.
“ Mak, kenapa ni? macam mana mak boleh terlibat dengan orang tua tu lagi? Mak tak ingat ke apa yang dia dah buat pada kita dulu?” Ariana cuba mengawal kemarahannya.
“ Ari, maafkan mak. sebenarnya sebaik saja mak dapat tahu penyakit mak bertambah teruk dan tiada harapan lagi, mak terus sahaja utus surat kepada datuk kamu. Mak harap dia dapat menjaga kamu dan Aris bila mak dah tiada nanti.” Azizah cuba menyejukkan hati anaknya itu.
“ Jangan cakap macam ni mak. Tolong jangan sebut pasal kematian ni mak boleh tak? Ari akan cari wang perubatan mak tu. Ari pun boleh jaga Aris, sementara mak nak pulih nanti. Tapi mak tolonglah jangan hubungi orang tua tu lagi. Tak cukupkah dengan apa yang dia dah buat pada mak dulu? Pada kita sekeluarga dulu mak?”
Di kala itu dia terimbas kenangan pahit 15 tahun lalu ketika ibu dan dirinya dihalau oleh datuknya. Masih dia teringat betapa kejamnya orang tua itu memfitnah ibunya berzina dengan tukang kebun rumah itu sedangkan semua itu dirancangnya sendiri. Betapa kecewanya dia melihat ayahnya juga turut mempercayai kata-kata datuknya itu. Dengan perasaan yang kecewa itu ibunya pergi membawa diri ke Timur Semenanjung tempat kelahirannya.
“Ari, demi mak, kamu pergi jumpa datuk kamu tu ya. Ari mak tak pernah mendidik anak-anak mak jadi orang yang pendendam. Mak tak nak Ari begitu ya sayang. Sedang Nabi ampunkan umatnya Ari. Ari pergi ya?” ibunya cuba memujuk.
Ariana masih terdiam. Berat hatinya untuk menjawab. Untuk menjawab tidak ,takut hati ibunya akan kecewa.
“Ari??” Azizah memanggil lagi.Dia tahu hati anaknya itu belum dapat menerima situasi seperti ini. Dia juga tahu marah Ariana terhadap datuknya masih belum pudar.
“Baiklah mak, kalau itu yang mak nak. Ari akan ikut .” luah Ariana perlahan.
Hatinya berbaur, namun terlintas juga di hatinya, sedangkan ibunya sanggup melupakan perbuatan datuknya itu apatah lagi dirinya yang tiada kaitan dengan permasalahan itu, walaupun marah masih ada.
“Jom Ariana?” Akhil yang tiba-tiba masuk, bersuara seperti tahu perbincangan Ariana dan ibunya sudah selesai.